31 July 2008

Preview Hijab Sang Pencinta III



Kepulauan Krakatau

BERSUSAH PAYAH mengharungi gelora lautan, teroleng-oleng dimainkan
ombak dan menyusur angin, akhirnya perahu rencong dapat juga
didaratkan di pasir berlava. Setangkas selayaknya seorang pendekar,
Saifudin melompat dari perahu, terjun ke laut tohor, menarik perahu
dan memacakkan sauh kecil ke pasir setelah melilit tambatan tali pada
sebatang kayu mati yang terdampar di pasiran pantai. Dani dan Haryani
pula bergerak hendak melonjak turun tetapi lekas ditegah oleh
Saifudin.
    “Biar kita saja yang mengurusi jenglot ini.” Seraya pandangannya
teralih ke gunung berapi Anak Krakatau yang dilaporkan masih aktif.
    “Biar saya bantu Sunan.” Kata Dani.
    “Jagai Haryani. Usah ke mana-mana. Jika kita tumpas di puncak
gunung api...segeralah beredar.” Pesan Saifudin memperlihatkan
ketegasannya. Sebenarnya dia khuatir keselamatan Dani dan Haryani
tergugah. Saifudin dapat menghidu terdapat ujian besar yang bakal
dihadapi di puncak sana. Sesuatu bersifat paranormal yang tidak
terhurai dek akal logik manusia. Naluri sufinya sangat kuat.
Kadangkala dirasakan melebihi kekuatan kudratnya sendiri. Dani nampak
kecewa.
    “Kami berteduh di sana.” Haryani menuding telunjuk ke arah
rimbunan belukar.
    “Berjanjilah untuk tidak menuruti kita ke sana.”
    “Ba...baik.” Haryani teragak-agak.
    “Kamu juga, Dani.” Keponakan Saifudin itu terpaksa bersetuju
meski pun hatinya keras membantah. Dia berhasrat hendak berjuang
bersama-sama Saifudin melawan kejahatan. Namun Saifudin tetap tegas
melarang.
   “Terdapat ancaman yang bakal menghalangi pendakian.” Saifudin
memberitahu. Penglihatannya terarah semula ke arah puncak gunung
berapi Anak Krakatau. Sesuatu yang tidak terlihat pada mata kasar
tetapi dapat disentuh menerusi naluri sufinya.
    Selajur dia dan Haryani turun dari perahu. Dibawa berteduh dalam
rimbunan belukar. Kemudian Saifudin mengendong jenglot Manggala yang
berbungkus kelambu lusuh. Mayat makhluk jahat itu diletakkan sahaja di
atas pasir. Tacakan keris Nanggroe langsung tidak diusik. Mereka
berehat sejenak. Menghirup nafas untuk menguatkan tunjang nyawa. Hidup
hanya sekali. Hidup kali kedua adalah di akhirat. Hidup di dunia
terbentang banyak pilihan yang harus diperhalusi oleh akal. Sementara
hidup di akhirat hanyalah hari pengadilan ALLAH yang paling besar lagi
maha dahsyat.
    Cuaca di lautan berubah mendadak tatkala menjejakkan kaki ke
pulau Anak Krakatau. Bertarung takdir membelah lautan. Perahu yang
tidak sebesar mana nyaris karam. Gangguan khayalan yang dicetuskan
syaitan taghut hampir mengacau tumpuan.

BANGKAI jenglot terasa berat seketul batu besar. Pendakian Saifudin
menjadi lambat. Dia tetap berusaha sekeras-kerasnya. Tatkala
mendongak, mulut  kawah gunung berapi hanya tinggal puluhan kaki
sahaja lagi. Setakat ini pendakiannya berjalan lancar. Peluh membasahi
sekujur tubuh. Terasa panas terbakar dipanah matahari.
    Saifudin terus melangkah. Otot-otot kaki yang kekar telah
membuatkan dia betah bertahan. Selangkah demi selangkah Saifudin
menapak. Setiap setapak melangkah dia melafazkan nama ALLAH.  Memacu
kekuatan dalaman. Kudratnya hampir-hampir tewas. Keletihan yang
dialami terasa mendesak. Unsur-unsur luar bersifat jahat mulai
menghasut dengan bisikan-bisikan yang menerjah nurani. Tidak semena-
mena...anak telinganya terdengar suara rintihan.
    Saifudin tidak terkejut apabila mendapati kepala jenglot telah
bertukar menjadi wajah mungil Ratna Sang Ratu – isteri tercinta yang
telah lama kembali ke pangkuan Ilahi. Wajah jelmaan itu menitiskan air
mata. Tangisan yang sungguh menyayat hati. Sejenak Saifudin memejamkan
mata. Lidahnya makin kuat berzikir.
    ‘Mengapa kanda memperlakukan dinda begini? Apakah cinta kanda
telah lenyap? Lupakah sudah kanda pada dinda?’ Suara jelmaan itu pun
mirip suara Ratna Sang Ratu. Saifudin enggan berdialog dengan jelmaan
itu. Dia terus melangkah...setapak demi setapak. Meneruskan pendakian
dengan susah payah. Ketulusannya hendak membanteras kejahatan
membuatkan semangatnya semakin meneguh. Seteguh iman yang diraih hasil
dari ibadah dan berbuat baik sesama makhluk.
     “Subhanaallah...Subhanaallah..
.Subhanaallah...” zikir itu
diucapkan. Kedua-dua kaki bergerak lagi dan lagi. Jelmaan itu pula
bersungguh-sungguh mengagalkan usahanya.
    ‘Bangsat kamu! Bangsatttttt!’ Suara lemah gemalai berubah menjadi
parau.


SETELAH bersusah payah mendaki sampai ke puncak, akhirnya Saifudin
sampai ke pinggiran kawah. Dia meletakkan mayat jenglot yang tidak
ubah seperti bangkai itu di tepi kawah. Sempat lagi dia menjenguk ke
bawah...jauh ke dasar tetapi tidak terlihat apa-apa, cuma gaung yang
dalam sekali. Terlalu menggerunkan. Tidak terbayang bagaimana
dahsyatnya kalau terhumban ke bawah sana. Udara panas membahangi
wajahnya.
    Dia beralih pada jenglot Manggala. Keadaan bangkai itu sungguh
terseksa. Tidak ubah seperti mumia Firaun. Saifudin terkhayal seketika
melihat rupa bentuk Manggala. Terbayang di fikiran muka manusia
terkutuk itu pada kurun ke 15 dahulu. Abad ini Manggala seperti
terkena sumpahan. Ramai orang yang jahil suka memuja-muja makhluk
sepertinya. Konon memberikan sesuatu keajaiban, walhal perbuatan itu
menjurus kepada syirik. ALLAH itu Maha Pengampun tetapi sekali-kali
tidak akan mengampunkan dosa syirik. Menyembah mahu pun mengagungkan
benda lain selain ALLAH adalah syirik! Kufur lagi kafir!
    Saifudin menghela nafas panjang. Melepaskan lelah yang terasa
mencengkam jantung. Saifudin terlihat bayangan ketulan-ketulan emas
yang menyilau pandangan batin. Masa inilah taghut muncul dengan
berselubung hitam. Berdiri tidak jauh dengan muka tertunduk. Selubung
di kepala menutupi sebahagian muka, hanya memperlihatkan bahagian
mulut sahaja. Maka berkata-katalah ia dengan lontaran suara memujuk
    ‘Laksamana Sunan yang agung...lagi perkasa sehingga berupaya
menumpaskan kerajaan Pulau Utara yang kukuh. Seorang pendekar yang
pernah digelar lelaki berduka dari Tanah Rencong...yang sangat baik
hati...’
    Pemerhatian mata kasar sesiapa jua yang menyaksikan situasi itu
hanya akan dapat melihat Saifudin seorang sahaja. Taghut bersifat
halus itu tidak terlihat melainkan pada pandangan Saifudin sahaja.
Laksamana Sunan sudah dapat menduga kemunculan makhluk derhaka itu
untuk menghalangi niatnya sekarang.
    ‘Berpalinglah padaku wahai Sunan. Nescaya...aku bisa mengangkatmu
menjadi seorang raja yang sangat berkuasa. Yang berkuasa memerintah
seluruh dunia semahumu.’ Tahgut berusaha mempengaruhi, menyondongkan
iman Saifudin.
    “Apa maumu wahai taghut?” Soal Saifudin.
    ‘Janganlah kau bunuh saudaramu si Manggala itu. Jadikan dia teman
seperjuanganmu. Nescaya...si Manggala itu akan menjadi pembantumu yang
paling taat. Mengalahkan taatnya para Malaikat di langit.’
    Subhanaallah...godaan ini lebih dahsyat sekarang. Hati Saifudin
berdetik. Tali ALLAH sentiasa digenggam untuk menyelamatkan diri dari
hasutan taghut derhaka yang bersungguh-sungguh menghasut, menawarkan
dunia ini menjadi miliknya dengan serangkum kuasa yang sangat besar
sekali.
    “Menyingkirlah kamu wahai taghut derhaka. Aku berlindung pada
ALLAH dari syaitan yang direjam.” Tegas Saifudin. Taghut menderam-
deram seumpama singa marah.
    ‘Arghhhh!’ Taghut berteriak duka kemudian ghaib.
    Saifudin beralih semula pada jenglot Manggala. Keris Nanggroe
ditarik. Sisa darah beku mengalir keluar. Kemudian jenglot itu ditolak
dengan kaki. Tidak semena-mena mata makhluk terkutuk itu terangkat.
Saifudin terperanjat. Jenglot Manggala memegang kaki Saifudin.

Bakal terbit tidak lama lagi! Nantikan di pasaran! Dapatkan maklumat terkini mengenai karya2 terbaru Ramlee Awang Murshid dan perkembangan beliau dalam dunia penulisan di group RAM dari beliau sendiri, sebuah kelab peminat Novelis Ramlee Awang Murshid.

Daftar sekarang!


Google Groups

Subscribe to Ramlee Awang Murshid Book Club (RAM FC)

Email:

Visit this group

dan lawati laman group ini sekarang!


Google Groups

Ramlee Awang Murshid Book Club (RAM FC)

Visit this group

No comments:

Post a Comment